Thursday, September 3, 2009

Iftar di Tampin

MAIMUN di Tampin akan diadakan pada sabtu ni, 5/9/2009

bertempat di Markaz PAS Tampin Badar

Program dianjurkan bersama Dewan Ulama

Semua di jemput hadir

Tazkirah 2 : Ramadhan

satu persoalan yang perlu diajukan dalam benak kita selaku seorang muslim yang peka dan bertanggung jawab terhadap agamanya ialah: apakah yang perlu saya lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini? Penting soalan ini diajukan supaya kita tidak leka melakukan perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan pada bulan Ramadhan yang akhirnya menyebabkan kita berada dalam kerugian tanpa kita sedari. Sebagai seorang muslim, kita harus memahami keutamaan atau awlawiyyat dalam hidup kita supaya pergerakan kita tidak kelihatan janggal dan menjadi fitnah kepada diri kita dan orang lain yang memerhatikan kita.

Dengan meneliti kitab-kitab hadis dan perbahasan-perbahasan yang ditulis oleh para ulama` silam dan masa kini, kita akan menemui jawapan kepada soalan di atas. Untuk itu mari kita merenung beberapa hadis Nabi SAW di bawah.

Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampun dosa-dosanya yang telah lalu”.

Ini kewajipan utama yang mesti kita tunaikan sepanjang bulan Ramadhan. Walaupun tiada orang yang tahu adakah kita berpuasa atau tidak, namun kita harus memilik sifat muraqabah yang tinggi iaitu merasakan diri kita sentiasa diperhatikan oleh Allah SAW. Dengan ini kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keilhlasan dan keimanan. Sebenarnya ibadah puasa itu melatih kita untuk mecapai dua martabat ihsan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang lebih dikenali dengan hadis Jibril AS. Sabda Rasulullah SAW:

أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

“Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak merasakan seolah-olah melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu”.

Namun, sangat janggal sekali jika kita bersungguh-sungguh menahan diri dengan berpuasa tetapi dalam masa yang sama mengabaikan kewajipan solat lima waktu atau pada malam hari di bulan Ramadhan kita sajikan perut kita dengan perkara-perkara yang terlarang di sisi syara`. Puasa yang begini bukanlah dari ketagori puasa yang penuh keimanan dan keikhlasan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan lagi daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

“Barang siapa yang menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.

Menghidupkan malam-malam Ramadhan ini ialah dengan melakukan solat malam seperti tarawih dan tahajjud, mengadakan majlis ilmu dan tadarus al-Quran. Hari ini masjid-masjid dan surau-surau kita sarat dengan Jamaah yang datang untuk mengerjakan solat Isya` dan Tarawih secara berjamaah. Ini satu perkembangan yang patut dipuji. Namun, disebalik keghairahan mengerjakan Tarawih itu terselit banyak kejanggalan yang menyebabkan kita sukar untuk mengungkapkan lafaz kepujian. Mengapa ramai yang datang untuk mengerjakan Tarawih sedangkan ketika waktu Maghrib masjid dan surau seumpama gua yang tidak berpenghuni walaupun oleh kelawar dan labah-labah. Mengapa pula bila berlalunya Ramadhan, masjid dan surau kembali sunyi sehinggakan ada yang sesat jalan jika mahu ke masjid ataupun surau walaupun rumahnya terletak hanyalah beberatus meter dari surau. Mengapa perlu berhabisan menyediakan moreh sehingga ada yang sanggup bermasam muka dan menyisihkan surau dan masjid gara-gara moreh dan adakalanya makanan yang melimpah ruah itu menerima nasib ditong sampahkan oleh manusia-manusia yang sebelum itu rancak sekali berselawat dan mengerjakan solat tarawih kerana tiada siapa lagi yang mahu makan sedangkan dalam masa yang sama ramai orang yang hanya berbuka puasa dengan beberapa teguk air putih sahaja. Dengan pahit kita nyatakan yang semua ini dikhuatiri merupakan petanda bahawa malam-malam Ramadhan kita bukanlah diisi dengan penuh keikhlasan dan keimanan walaupun zahirnya nampak rancak.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة

“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah dan Baginda SAW akan lebih pemurah lagi apabila tiba bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemunya. Jibril AS sentiasa bertemunya pada setiap malam lalu mereka mempelajari al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup”.

Tidak pelik jika kita digalakkan membaca al-Quran dengan sebanyaknya, membetulkan bacaan kita, mendalami maksudnya dan berusaha untuk mempraktikkannya sepanjang bulan Ramadhan ini. Apa tidaknya, sedangkan al-Quran itu sendiripun turun pada bulan Ramadhan. Sebenarnya, memang banyak sekali peluang untuk kita menghayati al-Quran pada bulan Ramadhan ini. Selain daripada solat-solat yang fardu, kita juga berpeluang mendengar al-Quran dibacakan dalam solat tarawih dan ketika majlis tadarus. Namun, cuba kita perhatikan seketika gelagat masyarakat kita hari ini bila berdepan dengan dua kumpulan manusia. Yang pertama golongan yang memperlagukan al-Quran dan mempertandingkannya di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Yang kedua golongan yang berhempas pulas memperjuangkan ajaran al-Quran dan isi kandungannya. Kira-kira bolehkah kita ketagorikan diri kita sebagai generasi al-Quran yang unggul selepas apa yang telah diterima oleh mereka yang cuba merealisasikan isi kandungan al-Quran itu sendiri?

Selain daripada menghayati al-Quran, kita juga digalakkan bersifat permurah sepanjang bulan Ramadhan ini. Rajinlah bersedekah dan menderma di hari-hari yang berkat ini. Jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh kita dalam melalui hari-hari di bulan Ramadhan. Sebenarnya, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa bersedekah itu adalah wajib ke atas setiap kita selagi kita maasih lagi menghirup udara di dunia ini. Perhatikan hadis di bawah ini:

كل سلامى عليه صدقة كل يوم يعين الرجل في دابته يحامله عليها أو يرفع متاعه صدقة والكلمة الطيبة وكل خطوة يمشيها إلى الصلاة صدقة ودل الطريق صدقة

“Setiap bahagian daripada tubuh manusia itu wajib ditebus dengan sedekah pada setiap hari. Apabila dia membantu seseorang menaiki kenderaan atau mengangkat barangnya, itu adalah sedekah. Ucapan yang manis dan setiap langkahnya ke masjid adalah sedekah. Memberi petunjuk jalan juga adalah sedekah”.

Cuba lihat bagaimana luasnya pengertian sedekah itu di dalam Islam sehingga tiada alasan bagi orang yang tidak berharta untuk tidak bersedekah selagi mana dia beriman. Justeru, tidak hairan mengapa sedekah itu disebut di dalam sebuah hadis sebagai tanda dan bukti kepada iman.

Semoga kita tergolong dari kalangan mereka yang memanfaatkan Ramadhan dengan perkara yang bermanfaat.