Thursday, September 3, 2009
Iftar di Tampin
bertempat di Markaz PAS Tampin Badar
Program dianjurkan bersama Dewan Ulama
Semua di jemput hadir
Tazkirah 2 : Ramadhan
Dengan meneliti kitab-kitab hadis dan perbahasan-perbahasan yang ditulis oleh para ulama` silam dan masa kini, kita akan menemui jawapan kepada soalan di atas. Untuk itu mari kita merenung beberapa hadis Nabi SAW di bawah.
Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampun dosa-dosanya yang telah lalu”.
Ini kewajipan utama yang mesti kita tunaikan sepanjang bulan Ramadhan. Walaupun tiada orang yang tahu adakah kita berpuasa atau tidak, namun kita harus memilik sifat muraqabah yang tinggi iaitu merasakan diri kita sentiasa diperhatikan oleh Allah SAW. Dengan ini kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keilhlasan dan keimanan. Sebenarnya ibadah puasa itu melatih kita untuk mecapai dua martabat ihsan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang lebih dikenali dengan hadis Jibril AS. Sabda Rasulullah SAW:
أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك
“Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak merasakan seolah-olah melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu”.
Namun, sangat janggal sekali jika kita bersungguh-sungguh menahan diri dengan berpuasa tetapi dalam masa yang sama mengabaikan kewajipan solat lima waktu atau pada malam hari di bulan Ramadhan kita sajikan perut kita dengan perkara-perkara yang terlarang di sisi syara`. Puasa yang begini bukanlah dari ketagori puasa yang penuh keimanan dan keikhlasan.
Abu Hurairah RA meriwayatkan lagi daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Barang siapa yang menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.
Menghidupkan malam-malam Ramadhan ini ialah dengan melakukan solat malam seperti tarawih dan tahajjud, mengadakan majlis ilmu dan tadarus al-Quran. Hari ini masjid-masjid dan surau-surau kita sarat dengan Jamaah yang datang untuk mengerjakan solat Isya` dan Tarawih secara berjamaah. Ini satu perkembangan yang patut dipuji. Namun, disebalik keghairahan mengerjakan Tarawih itu terselit banyak kejanggalan yang menyebabkan kita sukar untuk mengungkapkan lafaz kepujian. Mengapa ramai yang datang untuk mengerjakan Tarawih sedangkan ketika waktu Maghrib masjid dan surau seumpama gua yang tidak berpenghuni walaupun oleh kelawar dan labah-labah. Mengapa pula bila berlalunya Ramadhan, masjid dan surau kembali sunyi sehinggakan ada yang sesat jalan jika mahu ke masjid ataupun surau walaupun rumahnya terletak hanyalah beberatus meter dari surau. Mengapa perlu berhabisan menyediakan moreh sehingga ada yang sanggup bermasam muka dan menyisihkan surau dan masjid gara-gara moreh dan adakalanya makanan yang melimpah ruah itu menerima nasib ditong sampahkan oleh manusia-manusia yang sebelum itu rancak sekali berselawat dan mengerjakan solat tarawih kerana tiada siapa lagi yang mahu makan sedangkan dalam masa yang sama ramai orang yang hanya berbuka puasa dengan beberapa teguk air putih sahaja. Dengan pahit kita nyatakan yang semua ini dikhuatiri merupakan petanda bahawa malam-malam Ramadhan kita bukanlah diisi dengan penuh keikhlasan dan keimanan walaupun zahirnya nampak rancak.
Ibnu Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة
“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah dan Baginda SAW akan lebih pemurah lagi apabila tiba bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemunya. Jibril AS sentiasa bertemunya pada setiap malam lalu mereka mempelajari al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup”.
Tidak pelik jika kita digalakkan membaca al-Quran dengan sebanyaknya, membetulkan bacaan kita, mendalami maksudnya dan berusaha untuk mempraktikkannya sepanjang bulan Ramadhan ini. Apa tidaknya, sedangkan al-Quran itu sendiripun turun pada bulan Ramadhan. Sebenarnya, memang banyak sekali peluang untuk kita menghayati al-Quran pada bulan Ramadhan ini. Selain daripada solat-solat yang fardu, kita juga berpeluang mendengar al-Quran dibacakan dalam solat tarawih dan ketika majlis tadarus. Namun, cuba kita perhatikan seketika gelagat masyarakat kita hari ini bila berdepan dengan dua kumpulan manusia. Yang pertama golongan yang memperlagukan al-Quran dan mempertandingkannya di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Yang kedua golongan yang berhempas pulas memperjuangkan ajaran al-Quran dan isi kandungannya. Kira-kira bolehkah kita ketagorikan diri kita sebagai generasi al-Quran yang unggul selepas apa yang telah diterima oleh mereka yang cuba merealisasikan isi kandungan al-Quran itu sendiri?
Selain daripada menghayati al-Quran, kita juga digalakkan bersifat permurah sepanjang bulan Ramadhan ini. Rajinlah bersedekah dan menderma di hari-hari yang berkat ini. Jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh kita dalam melalui hari-hari di bulan Ramadhan. Sebenarnya, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa bersedekah itu adalah wajib ke atas setiap kita selagi kita maasih lagi menghirup udara di dunia ini. Perhatikan hadis di bawah ini:
كل سلامى عليه صدقة كل يوم يعين الرجل في دابته يحامله عليها أو يرفع متاعه صدقة والكلمة الطيبة وكل خطوة يمشيها إلى الصلاة صدقة ودل الطريق صدقة
“Setiap bahagian daripada tubuh manusia itu wajib ditebus dengan sedekah pada setiap hari. Apabila dia membantu seseorang menaiki kenderaan atau mengangkat barangnya, itu adalah sedekah. Ucapan yang manis dan setiap langkahnya ke masjid adalah sedekah. Memberi petunjuk jalan juga adalah sedekah”.
Cuba lihat bagaimana luasnya pengertian sedekah itu di dalam Islam sehingga tiada alasan bagi orang yang tidak berharta untuk tidak bersedekah selagi mana dia beriman. Justeru, tidak hairan mengapa sedekah itu disebut di dalam sebuah hadis sebagai tanda dan bukti kepada iman.
Semoga kita tergolong dari kalangan mereka yang memanfaatkan Ramadhan dengan perkara yang bermanfaat.
Wednesday, August 26, 2009
Tazkirah 1
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Allah SWT berhak menganugerahkan kelebihan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Justeru, para nabi dan rasulnya itu dimuliakan ke atas sekalian manusia. Dia juga berhak menganugerahkan kelebihan kepada mana-mana muka bumi yang Dia kehendaki. Justeru, Makkah, Madinah dan Baitul Maqdis itu dipandang suci oleh para penganut agama samawi. Dia juga berhak menganugerahkan kelebihan kepada mana-mana bulan yang Dia kehendaki. Justeru, bulan Ramadhan itu dianggap istimewa oleh setiap umat Islam. Firman Allah SWT:
185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah).
Bulan Ramadhan itu menjadi mulia kerana padanya diturunkan al-Quran dan pada malam diturunkan al-Quran itu para malaikat dengan diketuai oleh Jibril AS turun dengan arahan daripada Allah SWT. Malam itu dinamakan malam al-Qadr. Firman Allah SWT:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Qadr,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Qadr itu?
3. Malam Qadr lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadr).
Bulan Ramadhan itu juga menjadi mulia kerana padanya disyariatkan puasa selama sebulan. Puasa itu merupakan rukun Islam yang keempat selepas mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu dan zakat. Ia telah diwajibkan ke atas manusia sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW menjadi rasul lagi. Sebahagian daripada syariat umat terdahulu sudah tidak sesuai lagi untuk umat Muhammad SAW dan telah dinasakhkan oleh Allah dengan syariat Nabi Muhammad SAW seperti syariat membunuh diri untuk tujuan bertaubat yang merupakan syariat Nabi Musa AS. Namun, puasa masih lagi dikekalkan sebagai syariat di dalam Islam bersama dengan beberapa hukum yang lain seperti hudud dan qishas sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran. Dalam hal ini, Allah SWT telah menjelaskan dengan firmannya:
183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah).
Kenyataan di atas sebenarnya seperti memberi isyarat kepada dua perkara:
1. peri pentingnya puasa dalam mencapai ketakwaan sehingga ianya dikekalkan sebagai syariat Nabi Muhammad SAW setelah ianya diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu.
2. peri pentingnya ketakwaan itu dan sewajarnya ia dijadikan matlamat bagi setiap orang beriman dalam setiap gerak dan bicaranya.
Adapun perihal kelebihan berpuasa itu, ianya dapat dilihat melalui beberapa potong hadis nabi SAW. Antaranya hadis yang berbunyi:
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم (مرتين) والذي نفسي بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي الصيام لي وأنا أجزي به والحسنة بعشر أمثالها
“Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang yang berpuasa itu melakukan perkara keji dan yang menjadi sifat orang jahil. Apabila dia diperangi oleh seseorang atau dikutuk, hendaklah dia menjawab: “Saya orang yang berpuasa” (Rasulullah SAW mengulanginya sebanyak dua kali) dan demi tuhan yang diriku berada di dalam gengamannya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada kasturi. Demikian adalah kerana dia telah meninggalkan makan, minum dan nafsunya keranaku dan akulah yang akan membalasnya. Sedangkan satu kebaikan yang dilakukan itu (jika ia bukan puasa) akan diganjari sebanyak sepuluh kali ganda”.
Oleh kerana puasa salah satu daripada bentuk kesabaran yang dapat menjadi perisai bagi yang mengamalkannya, maka setengah ulama` berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan sabar dalam ayat 45 daripada surah al-Baqarah itu ialah puasa. Jika begitu maksudnya, maka kita dapat simpulkan beberapa pengajaran daripada ayat tersebut. Bagi tujuan itu, marilah sama-sama kita meneliti ayat yang dimaksudkan. Firman Allah SWT:
45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk; (al-Baqarah)
Jika sabar dalam ayat di atas bermakna puasa, ini memberi isyarat bahawa kedudukan puasa itu seakan sama seperti solat kerana kedua-duanya disebut secara bergandingan sebagai sebab untuk memperolehi pertolongan dan kemenangan daripada Allah SWT. Kita semua sedia maklumi bahawa solat itu merupakan tiang asas kepada Islam dan ia merupakan alasan mengapa orang munafiq itu terpelihara nyawanya walaupun dia kuat memusuhi Islam. Ia juga merupakan perkara yang pertama disoal apabila seseorang itu berada di padang mahsyar. Jadi, apabila puasa itu disebut bersama dengan solat ini menunjukkan bahawa ia memiliki kelebihan yang tersendiri di dalam Islam. Hari ini ramai manusia yang berani meminta pertolongan kepada selain Allah dan dengan wasilah yang tidak direstui oleh Allah. Ini kerana mereka kurang faham akan syariat Islam yang akhirnya menyebabkan meraka menanggung krisis keyakinan yang sangat kronik.
Demikianlah kelebihan-kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan. Maka sangat malanglah seseorang itu jika dia mensia-siakan peluang berada dalam bulan Ramadhan tanpa ada rasa sedikitpun keinginan untuk memperbaiki dirinya. Sabda Rasulullah SAW:
رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل أن يغفر له
“Malanglah seseorang itu apabila tiba bulan Ramadhan kemudian bulan itu berlalu tanpa diampunkan dosanya”
Lebih malang lagi apabila seseorang itu diberi peluang membaca dan mendengar al-Quran dibacakan sepanjang bulan Ramadhan tetapi dia hanya mengganggap al-Quran sebagai qasidah yang layak dibaca di majlis maulid dan seumpamanya dan apabila selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah tanpa mengambil pengajaran daripada mesej qasidah yang didendangkan. Lebih malang daripada itu apabila seseorang itu hanya menilai al-Quran itu pada lagu dan bacaannya dan menganggap dia telahpun menunaikan hak-hak al-Quran dengan memberi ganjaran yang lumayan kepada para pendendang al-Quran tetapi dalam masa yang sama dia memusuhi tuntutan al-Quran dengan memusuhi para pengamalnya.
Semoga Ramadhan kali ini benar-benar dapat menghasilkan seorang muslim yang sedar dan celik akan tanggung jawabnya sebagai penerus generasi al-Quran yang unggul.
Thursday, August 20, 2009
Program Maimun (Majlis Iktikaf & Munajat Perdana)
Tuesday, August 11, 2009
Arak & Pengkhianat
Isu arak di Selangor kini menjadi buah mulut kita. Kita mudah buat kesimpulan bahawa PAS ditunggangi DAP. Hehe, ditengah-tengah perselisihan ini, 'mereka' pula nak jadi hero! Pakatan Rakyat dikatakan tidak sensitif isu Islam iaitu arak!
Apa 'mereka' dah buat nak halang arak ni sebenarnya? Dinegeri diperintah 'mereka' termasuk Selangor dahulu tak ada pun usaha nak bendung arak. Galak lagi ada, kononya kalau tak de arak nanti pelancong tak datang. Teruk masyarakat dibuatnya! Tup tap, tiba-tiba 'mereka' jadi hero kata PR tak sensitif isu melayu dan shariat Islam.
Sape bagi lesen nak tegak kilang arak di selangor? 'mereka'! Sekarang kata PR tak mampu nak robohkan kilang arak tu! Masalahnya tenure perjanjian tu kena patuhi. ni sume kerja kerajaan dulu!
At least, rakyat nampak usaha PR nak bendung arak. DAP sebenarnya tak leh nak disalahkan jugak, sebab tak de peruntukan undang-undang pasal arak ni khususnya bab penguatkuasaan di Selangor. Yang ada hanyalah boleh tangkap orang islam yang minum arak. Kelantan dah ada dalam enakmen pasal ni, sebab tu depa boleh laksanakan. Sebab tu MB kuar arahan supaya peringkat awal ni mesti buat self-prevention, sebelum dapat digubal peraturan. Betul la tu, undang-undang tak de, nak buat ape lagi?
Sebab tu 'mereka' tak yah lah nak jadi hero bela orang Islam pulak dalam hal ni. Malu lah pada diri sendiri ye!
Isu pengkhianat pun satu hal jugak. Buat demo sane sini tapi tak de point kata apa tindakan yang boleh menyatakan DSAI tu pengkhianat. Kot ye pun ada (andaian), adakah 'mereka' tu tak jadi pengkhianat kepada bangsa?
Kalau tengok pada sumber-sumber dalam harakah, ramai pemimpin-pemimpin 'mereka' ni pun jadi pengkhianat. Isu arak sampai rosak anak bangsa beberapa keturunan! Jual tanah pada Singapore sampai kita tak leh masuk di tanah kita sendiri. Belum soal ekuiti bumiputera hapus, PTPTN yang membebankan bangsa melayu, PPSMI yang dah jahanamkan bangsa melayu beberapa generasi (tu pun tak tau apa jadi pada 2012) dan banyak lagi lah. Mereka ni pembela bangsa lah yek?
Orang yang lawan 'mereka' ni kiranya pengkhianat lah ek?
JomUsrah geram lah dengan perkembangan politik hari ni!!!
Program 'Majlis Iktikaf & Munajat Perdana' (MAIMUN)
Jom Usrah akan menganjurkan program iftar dan MAIMUN pada tarikh 12 September 2009. Tempat dan aturcara akan dimaklumkan kemudian.
Program Iftar akan diadakan di enam lokasi sekitar negeri sembilan sepanjang ramadhan ini. Anda dijemput untuk hadir bersama. Maklumat lanjut menyusul.
Terima kasih
Tuesday, July 21, 2009
Perbincangan : Bolehkah usrah dijalankan secara maya (online)? apakah matlamat usrah itu tercapai?
Tidak? Mengapa?
Komen pandangan anda di ruangan 'comments'
TQ- Moderator