Wednesday, August 26, 2009

Tazkirah 1

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Allah SWT berhak menganugerahkan kelebihan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Justeru, para nabi dan rasulnya itu dimuliakan ke atas sekalian manusia. Dia juga berhak menganugerahkan kelebihan kepada mana-mana muka bumi yang Dia kehendaki. Justeru, Makkah, Madinah dan Baitul Maqdis itu dipandang suci oleh para penganut agama samawi. Dia juga berhak menganugerahkan kelebihan kepada mana-mana bulan yang Dia kehendaki. Justeru, bulan Ramadhan itu dianggap istimewa oleh setiap umat Islam. Firman Allah SWT:

185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah).

Bulan Ramadhan itu menjadi mulia kerana padanya diturunkan al-Quran dan pada malam diturunkan al-Quran itu para malaikat dengan diketuai oleh Jibril AS turun dengan arahan daripada Allah SWT. Malam itu dinamakan malam al-Qadr. Firman Allah SWT:

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Qadr,

2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Qadr itu?

3. Malam Qadr lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);

5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadr).

Bulan Ramadhan itu juga menjadi mulia kerana padanya disyariatkan puasa selama sebulan. Puasa itu merupakan rukun Islam yang keempat selepas mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu dan zakat. Ia telah diwajibkan ke atas manusia sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW menjadi rasul lagi. Sebahagian daripada syariat umat terdahulu sudah tidak sesuai lagi untuk umat Muhammad SAW dan telah dinasakhkan oleh Allah dengan syariat Nabi Muhammad SAW seperti syariat membunuh diri untuk tujuan bertaubat yang merupakan syariat Nabi Musa AS. Namun, puasa masih lagi dikekalkan sebagai syariat di dalam Islam bersama dengan beberapa hukum yang lain seperti hudud dan qishas sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran. Dalam hal ini, Allah SWT telah menjelaskan dengan firmannya:

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah).

Kenyataan di atas sebenarnya seperti memberi isyarat kepada dua perkara:

1. peri pentingnya puasa dalam mencapai ketakwaan sehingga ianya dikekalkan sebagai syariat Nabi Muhammad SAW setelah ianya diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu.

2. peri pentingnya ketakwaan itu dan sewajarnya ia dijadikan matlamat bagi setiap orang beriman dalam setiap gerak dan bicaranya.

Adapun perihal kelebihan berpuasa itu, ianya dapat dilihat melalui beberapa potong hadis nabi SAW. Antaranya hadis yang berbunyi:

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم (مرتين) والذي نفسي بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك يترك طعامه وشرابه وشهوته من أجلي الصيام لي وأنا أجزي به والحسنة بعشر أمثالها

“Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang yang berpuasa itu melakukan perkara keji dan yang menjadi sifat orang jahil. Apabila dia diperangi oleh seseorang atau dikutuk, hendaklah dia menjawab: “Saya orang yang berpuasa” (Rasulullah SAW mengulanginya sebanyak dua kali) dan demi tuhan yang diriku berada di dalam gengamannya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada kasturi. Demikian adalah kerana dia telah meninggalkan makan, minum dan nafsunya keranaku dan akulah yang akan membalasnya. Sedangkan satu kebaikan yang dilakukan itu (jika ia bukan puasa) akan diganjari sebanyak sepuluh kali ganda”.

Oleh kerana puasa salah satu daripada bentuk kesabaran yang dapat menjadi perisai bagi yang mengamalkannya, maka setengah ulama` berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan sabar dalam ayat 45 daripada surah al-Baqarah itu ialah puasa. Jika begitu maksudnya, maka kita dapat simpulkan beberapa pengajaran daripada ayat tersebut. Bagi tujuan itu, marilah sama-sama kita meneliti ayat yang dimaksudkan. Firman Allah SWT:

45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk; (al-Baqarah)

Jika sabar dalam ayat di atas bermakna puasa, ini memberi isyarat bahawa kedudukan puasa itu seakan sama seperti solat kerana kedua-duanya disebut secara bergandingan sebagai sebab untuk memperolehi pertolongan dan kemenangan daripada Allah SWT. Kita semua sedia maklumi bahawa solat itu merupakan tiang asas kepada Islam dan ia merupakan alasan mengapa orang munafiq itu terpelihara nyawanya walaupun dia kuat memusuhi Islam. Ia juga merupakan perkara yang pertama disoal apabila seseorang itu berada di padang mahsyar. Jadi, apabila puasa itu disebut bersama dengan solat ini menunjukkan bahawa ia memiliki kelebihan yang tersendiri di dalam Islam. Hari ini ramai manusia yang berani meminta pertolongan kepada selain Allah dan dengan wasilah yang tidak direstui oleh Allah. Ini kerana mereka kurang faham akan syariat Islam yang akhirnya menyebabkan meraka menanggung krisis keyakinan yang sangat kronik.

Demikianlah kelebihan-kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan. Maka sangat malanglah seseorang itu jika dia mensia-siakan peluang berada dalam bulan Ramadhan tanpa ada rasa sedikitpun keinginan untuk memperbaiki dirinya. Sabda Rasulullah SAW:

رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل أن يغفر له

“Malanglah seseorang itu apabila tiba bulan Ramadhan kemudian bulan itu berlalu tanpa diampunkan dosanya”

Lebih malang lagi apabila seseorang itu diberi peluang membaca dan mendengar al-Quran dibacakan sepanjang bulan Ramadhan tetapi dia hanya mengganggap al-Quran sebagai qasidah yang layak dibaca di majlis maulid dan seumpamanya dan apabila selesai majlis, masing-masing pulang ke rumah tanpa mengambil pengajaran daripada mesej qasidah yang didendangkan. Lebih malang daripada itu apabila seseorang itu hanya menilai al-Quran itu pada lagu dan bacaannya dan menganggap dia telahpun menunaikan hak-hak al-Quran dengan memberi ganjaran yang lumayan kepada para pendendang al-Quran tetapi dalam masa yang sama dia memusuhi tuntutan al-Quran dengan memusuhi para pengamalnya.

Semoga Ramadhan kali ini benar-benar dapat menghasilkan seorang muslim yang sedar dan celik akan tanggung jawabnya sebagai penerus generasi al-Quran yang unggul.

Thursday, August 20, 2009

Program Maimun (Majlis Iktikaf & Munajat Perdana)

Program MAIMUN akan diadakan pada tarikh dan tempat berikut. Usrah dan tadarus akan diadakan selepas solat asar berjemaah.

29 Ogos - Teluk Kemang
5 September - Tampin
6 September - Kuala Pilah
12 September - Rembau
13 September - Jempol dan Jelebu (Bergabung)
14 September - Rasah & Seremban (Bergabung dan menyambut wakil Pusat)

Sila email jomusrah@gmail.com untuk makluman lanjut @ cari jom usrah di facebook.

Syukran

Tuesday, August 11, 2009

Arak & Pengkhianat

JomUsrah tergelak besar dengan sikap pemimpin-pemimpin kita. Lucu pun ada. Marah pun ada. Nak kata tak sedar diri nanti marah pulak. Entahlah, demi kepentingan politik, macam-macam sanggup dilakukan.

Isu arak di Selangor kini menjadi buah mulut kita. Kita mudah buat kesimpulan bahawa PAS ditunggangi DAP. Hehe, ditengah-tengah perselisihan ini, 'mereka' pula nak jadi hero! Pakatan Rakyat dikatakan tidak sensitif isu Islam iaitu arak!

Apa 'mereka' dah buat nak halang arak ni sebenarnya? Dinegeri diperintah 'mereka' termasuk Selangor dahulu tak ada pun usaha nak bendung arak. Galak lagi ada, kononya kalau tak de arak nanti pelancong tak datang. Teruk masyarakat dibuatnya! Tup tap, tiba-tiba 'mereka' jadi hero kata PR tak sensitif isu melayu dan shariat Islam.

Sape bagi lesen nak tegak kilang arak di selangor? 'mereka'! Sekarang kata PR tak mampu nak robohkan kilang arak tu! Masalahnya tenure perjanjian tu kena patuhi. ni sume kerja kerajaan dulu!

At least, rakyat nampak usaha PR nak bendung arak. DAP sebenarnya tak leh nak disalahkan jugak, sebab tak de peruntukan undang-undang pasal arak ni khususnya bab penguatkuasaan di Selangor. Yang ada hanyalah boleh tangkap orang islam yang minum arak. Kelantan dah ada dalam enakmen pasal ni, sebab tu depa boleh laksanakan. Sebab tu MB kuar arahan supaya peringkat awal ni mesti buat self-prevention, sebelum dapat digubal peraturan. Betul la tu, undang-undang tak de, nak buat ape lagi?

Sebab tu 'mereka' tak yah lah nak jadi hero bela orang Islam pulak dalam hal ni. Malu lah pada diri sendiri ye!

Isu pengkhianat pun satu hal jugak. Buat demo sane sini tapi tak de point kata apa tindakan yang boleh menyatakan DSAI tu pengkhianat. Kot ye pun ada (andaian), adakah 'mereka' tu tak jadi pengkhianat kepada bangsa?

Kalau tengok pada sumber-sumber dalam harakah, ramai pemimpin-pemimpin 'mereka' ni pun jadi pengkhianat. Isu arak sampai rosak anak bangsa beberapa keturunan! Jual tanah pada Singapore sampai kita tak leh masuk di tanah kita sendiri. Belum soal ekuiti bumiputera hapus, PTPTN yang membebankan bangsa melayu, PPSMI yang dah jahanamkan bangsa melayu beberapa generasi (tu pun tak tau apa jadi pada 2012) dan banyak lagi lah. Mereka ni pembela bangsa lah yek?

Orang yang lawan 'mereka' ni kiranya pengkhianat lah ek?

JomUsrah geram lah dengan perkembangan politik hari ni!!!

Program 'Majlis Iktikaf & Munajat Perdana' (MAIMUN)

Assalamualaikum

Jom Usrah akan menganjurkan program iftar dan MAIMUN pada tarikh 12 September 2009. Tempat dan aturcara akan dimaklumkan kemudian.

Program Iftar akan diadakan di enam lokasi sekitar negeri sembilan sepanjang ramadhan ini. Anda dijemput untuk hadir bersama. Maklumat lanjut menyusul.


Terima kasih

Tuesday, July 21, 2009

Perbincangan : Bolehkah usrah dijalankan secara maya (online)? apakah matlamat usrah itu tercapai?

Ya? Mengapa?
Tidak? Mengapa?

Komen pandangan anda di ruangan 'comments'

TQ- Moderator

Tafsir Surah Al-Fatihah

Ayat 1:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang

Surah ini dimulai bacaan ini yang membawa makna, “Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Allah ingin sampaikan kepada hambanya – melalui utusannya Nabi Muhammad s.a.w Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang, bukan pembenci, penghukum dan pendendam.

Nabi s.a.w menganjurkan agar umatnya memulakan sesuatu perbuatan atau pekerjaan dengan nama Allah yang mempunyai sifat yang mulia antaranya Ar-Rahman(Maha Pemurah)bermaksud bahawa Allah melimpahkan kurniaNya kepada makhlukNya dan Ar-Rahim(Maha Penyayang)bermaksud Allah sentiasa melimpahkan rahmat kepada makhlukNya.Dari bacaan itu tersimpullah suatu pengharapan agar apa yang kita kerjakan mendapat kurnia Rahman dan Rahim dan dimudahkan mendapat perkara yang baik dan dijauhkan dari yang buruk.

Dalam hadis Nabi s.a.w yang diriwayat oleh Abu Daud dari Abu Hurairah yang bermaksud: “Tiap-tiap pekerjaan yang penting kalau tidak dimulai dengan bismillah(dengan nama Allah) maka pekerjaan itu akan menjadi sia-sia”

Ayat 2:

Segala puji-pujian bagi Allah pemelihara, sekalian alam

Alhamdulillah segala puji-pujian hanya untuk Allah kerana Allah adalah sumber dari segala kebaikan yang patut dipuji. Tidak ada yang lain berhak mendapat pujian demikian. Misalnya, ada seorang berjasa baik kepada kita meskipun kita memujinya namun hakikatnya puji hanya kepada Allah. Sebab seseorang itu tidak akan berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Sirah nabi membuktikan ketika Nabi telah berjaya menakluki negeri Mekah, namun baginda tidak pernah bermegah-megah bahkan mensyukuri nikmat Allah dan mengucapkan puji-pujian.

Tuhan dari sekalian makhluk atau Tuhan sekalian alam bermaksud Allah sebagai rabb yang meliputi segala pemeliharaan, penjagaan, pendidikan, dan pengasuhan. Kita juga dapat lihat bahawa Allah itu bukan semata-mata pencipta tapi juga pemelihara. Bukan sahaja menjadikan, bahkan pengatur segala makhluk seumpama matahari, bulan, bintang dan bumi. Sesudah dijadikan tidaklah dibiarkan, bahkan dipelihara dan dikuasai terus-menerus.

Ayat 3:

Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Ayat ini menyempurnakan dari ayat sebelumnya. Jika Allah sebagai Rabb, sebagai pemelihara dan pendidik bagi seluruh alam tidak lain maksud dan isi itu, melainkan kerana kasih sayangnya semata-mata. Tidaklah Dia memberikan pemeliharaan dan pendidikan itu untuk Dirinya sendiri,bahkan untuk rahmat buat makhluknya.

Raja yang menguasai hari yang diwaktu tersebut manusia akan menerima balasan amalan yang baik mahu pun yang buruk.

Contohnya, rahmat Illahi dapat dilihat pada dua ekor burung, iaitu seekor jantan dan seekor betina. Apabila burung betina sedang mengerami telurnya, si jantan terbang mencari makanan dan membawanya pulang. Kemudian ia terbang lagi dan pulang lagi sambil mulutnya menggonggongkan sebutir makanan kecil. Kedua-duanya menyanyi bercericik, bersiul, yang bunyinya dapat kita rasai dengan penuh rahmat.

Dengan melihat kasih saying suali isteri terhadap anak, binatang dan lain-lain dapatlah kita mengetahui betapa besarnya rahmat dan rahim Allah ke atas makhluk.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: Orang-orang yang ada rasa rahim akan dirahmati oleh Tuhan yang Rahman yang memberikan berkat dan maha tinggi. Sayangilah orang-orang yang di bumi supaya kamu disayangi pula yang di langit (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, dan Al-Hakim dari hadis Abdullah bin Umar)

Ayat 4:

Yang Menguasai hari pembalasan,

Di sini dapatlah kita memahami betapa erti ad-din. Kita hanya biasa memberi erti ad-din sebagai agama. Padahal din pun bererti juga pembalasan. Memang menurut Islam segala gerak geri hidup kita, dan apa yang kita laksanakan tidaklah telepas dari lingkungan agama. Semuanya tidak lepas dari hukum lima iaitu wajib, sunat, haram, makruh, dan harus. Semuanya kelak akan diperhitungkan di hadapan Tuhan di akhirat. Perbuatan baik akan diberi pembalasan baik, manakala amal buruk akan diberi pembalasan buruk oleh Allah yang Maha seadilnya.


Ayat 5:

Engkaulah yang kami sembah dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan.

Lebih murnilah kita terjemahkan maksud na’budu sebagai ‘kami beribadat’. Meskipun telah kita pakai erti dalam bahasa kita iaitu ‘sembah’ atau ‘kami sembah’,namun hakikat ibadat hanya khusus kepada Allah, sedangkan dalam bahasa kita perkataan tersebut merujuk kepada seseorang yang menyembah raja dalam sesebuah negeri. Maksud ibadat adalah jauh lebih luas dari sembah.

Kalimah istianah mengatukan pengakuan bahawa hanya kepadanya sahaja kita memohon pertolongan- tidak kepada orang lain. Dia adalah Tuhan yang mencipta dan memelihara, Dia adalah rabb, Dia adalah Illah, tidak ada Illah yang lain melainkan Dia. Oleh kerana Dia yang mencipta dan memelihara, maka hanya Dia pula yang patut disembah. Adalah satu hal yang tidak wajar, kalau Dia menjadikan dan memelihara, lalu kita menyembah kepada yang lain. Oleh itu,ayat ini memperkuatkan lagi ayat 2, maka mengakui bahawa yang patut disembah sebagai Illah hanyalah Allah.

Ayat 6:

Tunjukkilah kami jalan yang lurus

Tunjukilah kami ke jalan yang bnar.Bukan hanya memberi hidayah tetapi juga memberi taufik.Meminta ditunjukkan dan dipimpin supaya tercapai jalan yang lurus. Dengan ayat ini, kita telah diajar tentang perkara yang amat penting untuk kita memohon pertolongan daripadaNya iaitu memohon ditunjukki jalan yang lurus. Inilah puncaknya permohonan. Pada ayat sebelumnya telah kita nyatakan, bahawa hanya kepadaNya sahaja kita memohon pertolongan. Tetapi kita tidak utamakan meminta harta. Kita tidak mahu meminta rumah besar dan cantik, kekayaan yang melimpah, dan lain-lain. Kita memohonkan sesuatu yang amat penting iaitu petunjuk. Kalau petunjuk jalan lurus itu tidak diberi, walaupun perkara lain diberikanNya, maka perkara lain itu besar kemungkinan akan mencelakakan kita.

Ayat 7:

Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniai nikmat atas mereka. Bukan jalan orang yang Engkau murkai ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.

Jalan yang Engkau murkai iaitu orang-orang Yahudi dan pula jalan mereka yang sesat(iaitu orang-orang Nasrani).Golongan Yahudi dan Nasrani ialah golongan yang menyimpang dari fahaman Islam. Kita telah mendengar berita tentang orang-orang terdahulu yang telah menempuh jalan yang lurus dan Allah pernah mengurniakan nikmatNya. Sebab itu, maka kita memohon kepada Tuhan agar kita ditunjukkan pula jalan yang lurus itu. Kami memohon: Pimpinlah kami ke jalan itu, iaitu jalan bahagia yang pernah ditempuh oleh manusia-manusia yang Engkau cintai dan mencintai Engkau, dan yang menegakkan kebaikan di dunia ini. Apabila Allah telah menganugerahkan nikmat ‘redha’ kepada seseorang hamba, tercapailah olehnya puncak kebahagiaan jiwa di dalam hidup yang sekarang ini. Permulaan dari redha Allah itu ialah bila mana telah tumbuh dalam jiwa keinsafan beragama.

KESAN IMAN DALAM KEHIDUPAN

Di dalam rukun Islam, perkara yang terkandung di dalamnya ialah perbuatan zahir yang boleh dilihat atau dirasai. Sebagai contoh, solat adalah salah satu rukun Islam, ia adalah satu perbuatan ibadah yang jelas dan zahir, penuh dengan rukun dan tartib dari takbiratul ihram hingga menunaikan salam.

Di dalam rukun iman, ke enam-enam perkara tersebut tidak boleh di lihat dengan mata ksar, namun ia merupakan satu bentuk kepercayaan di dalam diri sendiri. Kekuatan iman adalah merupakan hidayah dari Allah, namun setiap muslim hendaklah melakukan seberapa banyak amalan bagi membolehkan hidayah Allah dapat diterima.

Sebagai contoh, percaya kepada hari kiamat. Ia masih tidak berlaku namun kewujudannya benar-benar tersemat di dalam diri sehingga tiada siapa boleh mengubahpun. Kekebalan terhadap kepercayaan ini seumpama setiap manusia mempercayai bahawa satu tambah satu adalah dua. Buatlah apa kaedah sains atau teknologi untuk mengatakan jawapan satu tambah satu adalah bukan dua, setiap orang pasti tidak mempercayainya.

Ia kerana kepercayaan itu tersemat dengan jelas di dalam diri sendiri, apatah lagi secara logiknya ia boleh dibuktikan. Di dalam soal iman ini, kita juga hendaklah meletakan seratus peratus kepercayaan tehadap setiap yang terkandung di dalam ajaran Islam bagi membolehkan kekuatan iman kita menebal tanpa merasa tergugat walau banyak ujian yang telah kita lalui.

Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam aqidah maka saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kesempurnaan dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa. Firman Allah s.w.t:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul- rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan. Firman Allah s.w.t:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat KukuhkekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura 42: Ayat 7)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah s.w.t:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang- undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:

"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya." (Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhana(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifatsifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.

Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

11. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata- mata tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata- mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

12. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya. Allah s.w.t menjelaskan:

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah Al- nur 24: Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:

Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

13. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Al- Zukhruf 43: Ayat 36-37).

14. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). (Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)